Kerja Kursus Sains Pertanian 2012

Terbaca satu rencana mengenai penternakan arnab yang berjaya di Bukit Badong, Kuala Selangor. Penternak yang dulunya hanya memulakan projek dengan 40 ekor arnab pada tahun lalu dan dalam tempoh lebih setahun beliau mampu menternak lebih 3,000 ekor arnab di tanah seluas 3 ekar. Syarikat yang dinamakan, One Stop Rabbit Farm & Trading (ISRFT) ini mengusahakan projek ternakan arnab untuk bekalan daging secara komersial dan sebagai haiwan peliharaan. Menurut pengusaha, Mohd Ismail Fadzil harga arnab peliharaan dijual pada harga RM100 ke atas manakala daging arnab dijual pada harga RM38 sekilo (Pergh, boleh tahan gak harganya). Malahan beliau juga bercadang untuk membina restoran berasaskan daging arnab pada masa hadapan.



Istilah penternakan arnab
Ø Doe = Arnab betina
Ø Buck = Arnab jantan
Ø Dam = Induk betina
Ø Sire = Induk pejantan
Ø Breeder = Mengahwinkan arnab
Ø Testing = Ujian kehamilan
Ø Nesting = Kotak rumput kering
Ø gestation period = Tempoh kehamilan
Ø weaning = Ceria susu
Ø Nest box = Kotak anak/ kotak kelahiran


Arnab (rabbit) atau kelinci (hare) merupakan sejenis haiwan mamalia yang tergolong dalam famili Leporidae yang tergolong dalam order Lagomorpha. Arnab mudah dikenali dengan telinganya yang panjang dan tirus, gigi acip tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki depan, serta ekornya yang pendek. Arnab boleh hidup secara liar mahupun dijadikan haiwan peliharaan atau ternakan yang memberikan sumber makanan kepada manusia.
Dalam bahasa Melayu, perkataan "arnab" berasal dari bahasa Arab, iaitu arnab (أرنب). Perkataan "kelinci" pula lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia, dan berasal dari bahasa Belanda, yakni istilah konijntje yang bererti "anak arnab". Apapun, ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Nusantara mula mengenali arnab atau kelinci daripada perdagangan antarabangsa pada zaman silam, padahal di Pulau Sumatera ada satu spesies arnab asli (Nesolagus netscheri) yang baru ditemui pada tahun 1972. Nama saintifik famili "Leporidae" pula berasal dari perkataan lepus, iaitu arnab dalam bahasa Latin.

BAKA
Terdapat berbilang-bilang baka arnab peliharaan jinak yang bermacam-macam saiz, pembawaan, dan keperluan penjagaan. Sama seperti anjing atau kucing, baka arnab dibiakbakakan secara berpilih oleh manusia sepanjang zaman untuk mendapatkan ciri-ciri tertentu yang diingini, termasuk warna dan tekstur bulu, saiz dan bentuk tubuh. Keperluan penjagaannya turut banyak berubah-ubah; misalnya, sesetengah baka terbaru perlu disikat beberapa kali sehari tanpa henti, dan ada juga baka yang sering mengalami masalah gigi. Pembawaan arnab berbeza-beza sedikit mengikut baka dan jantina, sama seperti mana-mana haiwan lain. Terdapat lebih 47 baka arnab yang diiktiraf oleh Persatuan Pembiak Baka Arnab Amerika Syarikat, tetapi di terdapat banyak lagi baka arnab di serata dunia.
Kebanyakan kecacatan genetik dalam arnab peliharaan jinak disebabkan oleh gen-gen resesif. Gen-gen ini dijejaki dengan teliti oleh penggemar baka-baka berkenaan untuk membasmi kecacatan yang tidak diingini, sebagaimana penggemar kucing dan anjing memeriksa masalah pinggul, mata dan jantung haiwan masing-masing.

Pemakanan
Pemakanan arnab peliharaan jinak terdiri daripada rumput kering, lebih baik seperti makanan biji buatan komersil ataupun sekali-sekala dalam bentuk rumput gembur. Makanan biji yang sesuai terdiri daripada pelbagai jenis rumput dan herba. Berbeza pula dengan rumput potong yang kurang sesuai sebagai makanan arnab kerana ia mengandungi sedikit sekali spesies rumput dan tiada herba, apalagi arnab amat mudah terpengaruh oleh perubahan besar dalam pemakanan dan tidak bertindak balas dengan baik kepada pengenalan makanan baru secara tiba-tiba. Penternak arnab menyediakan pelbagai jenis rumput kering termasuk rumput Timothy, rumput dusun, oat dan alfalfa, sebagai tambahan kepada diet biasa arnab yang terdiri daripada biji serta meniru pemakanan semula jadi arnab sebagai haiwan pengumpul makanan. Kajian menunjukkan bahawa arnab peliharaan jinak sangat boleh menyesuaikan diri dengan makanan ternak yang terdapat dalam negara membangun, namun sedikit masa diperlukan untuk menyempurnakan peralihan.Jika terlebih makan sayur hijau berdaun, arnab sering mengalami cirit-birit, manakala terlalu banyak biji atau buah-buahan bergula boleh mendatangkan bermacam-macam masalah kesihatan. 
Sekotrop (juga dipanggil gentelan usus buntu) merupakan makanan separa tercena yang dikumuhkan lalu dimakan semula oleh arnab; proses ini dikenali sebagai refeksi atau sekotrofi, satu jenis koprofagia. Biasanya, arnab akan memakan sekotrop itu terus dari duburnya; inilah yang tidak dikenali oleh ramai orang mengenai pemakanan arnab. Sekotrop kaya dengan vitamin dan lebih tinggi dengan protein dan air berbanding gentelan tahi keras yang biasa serta membolehkan erapan semula serat yang tidak cukup tercerna ketika perkumuhan pertama. Sekali-sekala, arnab itu membiarkan gentelan-gentelan itu bertaburan dalam sangkarnay; kelakuan sebegini tidak bahaya dan biasanya berkenaan dengan bekalan makanan yang mencukupi. Jika gentelan usus buntunya sering kali lembap dan berair, ini mungkin menandakan bahawa pemakanan arnab itu kekurangan serat atau terlalu banyak kanji, jadi ia perlu disuap lebih banyak rumput kering.


Arnab sebagai haiwan belaan
  Arnab peliharaan jinak Chincilla Standard
Arnab dijadikan haiwan peliharaan di negara-negara Barat sejak abad ke-19. Arnab yang dibela dalam rumah dengan jagaan yang rapi boleh hidup sampai 9 – 12 tahun.[4] Arnab amat digemari ramai sebagai haiwan belaan di AS terutamanya ketika musim Easter, kerana kaitan haiwan ini dengan perayaan tersebut. Bagaimanapun, pusat perlindungan haiwan yang menerima arnab sering mengadu bahawa dalam masa beberapa minggu atau bulan selepas Easter, meningkatnya arnab terbuang atau terbiar yang mula-mula dibeli sebagai "hadiah" Easter, khasnya untuk kanak-kanak.

Arnab belaan boleh disimpan di dalam atau luar rumah. Tempat simpanan arnab boleh berupa sangkar luar atau dalam rumah, ataupun petak dalam rumah supaya arnab berasa bebas untuk berjalan ke mana-mana dalam kawasan rumah.

Penjagaan
Penjagaan arnab agak murah jika dibandingkan dengan haiwan-haiwan yang lebih besar seperti anjing atau kunda, namun belanja penjagaannya mungkin agak mahal.Sesetengah negara mewajibkan arnab belaan menerima pemvaksinan penyakit berdarah virus dan miksomatosis. Penjagaan veterinar agak terhad dan penyakitnya jarang dialami apabila arnab dibela dalam keadaan yang cukup bersih dan dijaga secukup-cukupnya. Bulu arnab harus kerap disikat untuk mencegah risiko pengingesan bulu yang boleh mengakibatkan pengimpakan bebola bulu dana perut. Kuku arnab harus kerap dipotong jika arnab itu tinggal dalam rumah supaya ia tidak cuba menggali.
Jika diangkat dengan tidak betul, arnab belaan boleh menendang kuat kerana ketakutan, sehingga boleh mencederakan arnab dan pengangkatnya sendiri.
Arnab akan menggerogot apa sahaja yang ada di sekitarnya, termasuklah dawai elektrik, kabel, dan barangan kertas. Komponen elektrik yang digigit oleh arnab boleh menyebabkan renjatan dan kelecuran.

Arnab komersil
Arnab daging
 Arnab jenis daging diternak sebagai sumber makanan tambahan ketika Zaman Meleset
Sesetengah baka arnab seperti New Zealand dan California sering dimanfaatkan sebagai sumber daging dalam ladang arnab komersil. Baka-baka ini mempunyai metabolisme yang cekap dan cepat membesar, dan sedia disembelih setelah mencapai usia 14–16 minggu.
Arnab goreng (fryer) adalah yang berusia 70–90 hari, dan berat hidupnya 3–5 lb (1–2 kg). Arnab panggang (roaster) pula berusia 90 hari hingga 6 bulan, dan berat hidupnya 5–8 lb (2–3.5 kg). Arnab rendidih (stewer) pula berusia 6 bulan ke atas, dan berat hidupnya melebihi 8 lb.
Tukang masak terkenal, Mark Bittman berkata bahawa daging arnab ternakan sama rasanya seperti ayam, kerana kedua-dua dagingnya ibarat palet kosong yang boleh dilapisi dengan mana-mana perisa yang disukai.

Arnab bulu
Baka-baka arnab seperti Angora, American Fuzzy Lop, dan Jersey Wooly merupakan sumber bulu sakhlat. Akan tetapi, memandangkan American Fuzzy Lop dan Jersey Wooly adalah baka kerdil, maka hanyalah baka-baka Angora yang lebih besar digunakan untuk penghasilan sakhlat komersil. Bulu panjangnya diketam, disikat atau dicarik (menarik bulu-bulu yang longgar perlahan-lahan dari tubuh ketika proses menyalin bulu), kemudian dipintal menjadi gegelung sebelum digunakan untuk menghasilkan beraneka barangan.

Arnab makmal
Arnab turut digunakan dalam kerja-kerja makmal seperti penghasilan antibodi untuk vaksin serta kajian toksikologi sistem pembiakan lelaki manusia. Pada tahun 1972, sekitar 450,000 ekor arnab digunakan untuk tujuan uji kaji di AS, tetapi jumlahnya berkurangan kepada 240,000 pada tahun 2006. Jurnal Environmental Health Perspective terbitan Institut Kesihatan Negara AS menyatakan, "Arnab merupakan model yang teramat berharga untuk mengkaji kesan kimia atau rangsangan pada sistem pembiakan lelaki.” Menurut Humane Society AS, arnab juga digunakan secara meluas dalam kajian penyakit lelah, angin ahmar, rawatan pencegahan, fibrosis sista, diabetes, dan barah.


Jenis-jenis arnab
Arnab pernah digolongkan dalam order Rodentia sehingga tahun 1912, kemudian dialihkan ke order baru Lagomorpha bersama pika.
Order Lagomorpha
Famili Leporidae
Genus Pentalagus
Arnab Amami/Ryūkyū, Pentalagus furnessi
Genus Bunolagus
Arnab Bushman, Bunolagus monticularis
Genus Nesolagus
Arnab Belang Sumatera, Nesolagus netscheri
Arnab Belang Annam, Nesolagus timminsi
Genus Romerolagus
Arnab Gunung Berapi, Romerolagus diazi
Genus Brachylagus
Arnab Kerdil, Brachylagus idahoensis
Genus Sylvilagus
Subgenus Tapeti
Arnab Paya, Sylvilagus aquaticus
Tapeti, Sylvilagus brasiliensis
Arnab Ekor Kapas Dice, Sylvilagus dicei
Arnab Ekor Kapas Omilteme, Sylvilagus insonus
Arnab Rawang, Sylvilagus palustris
Arnab Tanah Pamah Venezuela, Sylvilagus varynaensis
Subgenus Sylvilagus
Arnab Ekor Kapas Gurun, Sylvilagus audubonii
Arnab Ekor Kapas Gunung Manzano, Sylvilagus cognatus
Arnab Ekor Kapas Mexico, Sylvilagus cunicularis
Arnab Ekor Kapas Timur, Sylvilagus floridanus
Arnab Tres Marias, Sylvilagus graysoni
Arnab Ekor Kapas Gunung, Sylvilagus nuttallii
Arnab Ekor Kapas Appalachian, Sylvilagus obscurus
Arnab Pergunungan Davis, Sylvilagus robustus
Arnab Ekor Kapas New England, Sylvilagus transitionalis
Subgenus Microlagus
Arnab Ekor Kembang, Sylvilagus bachmani
Arnab Ekor Kembang San Jose, Sylvilagus mansuetus
Genus Oryctolagus
Arnab Eropah, Oryctolagus cuniculus
Genus Poelagus
Arnab Bunyoro, Poelagus marjorita
Genus Pronolagus
Arnab Batu Merah Natal, Pronolagus crassicaudatus
Arnab Batu Merah Jameson, Pronolagus randensis
Arnab Batu Merah Smith, Pronolagus rupestris
Genus Caprolagus
Arnab Assam, Caprolagus hispidus
Genus Lepus
Subgenus Macrotolagus
Arnab Jack Antelop, Lepus alleni
Subgenus Poecilolagus
Kelinci Kasut Salji, Lepus americanus
Subgenus Lepus
Kelinci Artik, Lepus arcticus
Kelinci Alaska, Lepus othus
Kelinci Gunung, Lepus timidus
Subgenus Proeulagus
Arnab Jack Berekor Hitam, Lepus californicus
Arnab Jack Bertepi Putih, Lepus callotis
Kelinci Tanjung, Lepus capensis
Arnab Jack Tehuantepec, Lepus flavigularis
Arnab Jack Hitam, Lepus insularis
Kelinci Belukar, Lepus saxatilis
Kelinci Gurun, Lepus tibetanus
Kelinci Tolai, Lepus tolai
Subgenus Eulagos
Kelinci Castroviejo, Lepus castroviejoi
Kelinci Yunnan, Lepus comus
Kelinci Korea, Lepus coreanus
Kelinci Corsica, Lepus corsicanus
Kelinci Eropah, Lepus europaeus
Kelinci Granada, Lepus granatensis
Kelinci Manchuria, Lepus mandschuricus
Kelinci Berbulu, Lepus oiostolus
Kelinci Tanah Tinggi Habsyah, Lepus starcki
Arnab Jack Berekor Putih, Lepus townsendii
Subgenus Sabanalagus
Kelinci Habsyah, Lepus fagani
Kelinci Savana Afrika, Lepus microtis
Subgenus Indolagus
Kelinci Hainan, Lepus hainanus
Kelinci India, Lepus nigricollis
Kelinci Burma, Lepus peguensis
Subgenus Sinolagus
Kelinci Cina Selatan, Lepus sinensis
Subgenus Tarimolagus
Kelinci Yarkand, Lepus yarkandensis
Subgenus incertae sedis
Kelinci Jepun, Lepus brachyurus
Kelinci Abisinia, Lepus habessinicus

Habitat
Bermacam-macam jenis arnab tinggal di kawasan padang rumput, hutan, gurun, tundra dan tanah lembap mengikut kesesuaian dengan spesiesnya. Kebanyakan spesies arnab tinggal dalam sarang bawah tanah yang dimasuki melalui lubang, tetapi berbeza pula dengan arnab dalam genus Lepus yang bertempat tinggal di atas tanah dengan kawasan rumput yang rata sebagai sarang. Kebanyakan spesies arnab tinggal secara berkelompok.
Lebih separuh jumlah populasi arnab di dunia tinggal di Amerika Utara. Arnab juga merupakan haiwan asli di Eropah, Asia Tenggara, Asia Timur, Afrika dan Amerika Selatan. Arnab mula-mula memasuki Amerika Selatan kesan peristiwa Pertukaran Besar Amerika. Sebahagian besar benua itu cuma ada satu spesies arnab, iaitu tapeti, manakala di kawasan kerucut selatan benua itu pula tiada spesies arnab yang asli.
Arnab mempunyai kadar pembiakan yang besar sekali. Musim membiak bagi kebanyakan arnab adalah 9 bulan, dari Februari hingga Oktober. Di Australia & New Zealand, musim membiak adalah dari akhir Julai hingga akhir Januari. Tempoh kebuntingan biasanya adalah 30 hari, ataupun lebih lama lagi bagi arnab dalam genus Lepus. Arnab biasanya boleh melahirkan 4 hingga 12 ekor anak, tetapi baka yang lebih besar mampu melahirkan banyak lagi arnab. Seekor anak arnab boleh bercerai susu sebaik mencecah umur 4 hingga 5 minggu. Ertinya, dalam satu musim, seekor ibu arnab boleh melahirkan sebanyak 800 anak, cucu dan cicit. Arnab betina sedia membiak pada usia sekitar enam bulan, dan arnab jantan pula sekitar tujuh bulan. Arnab mengambil masa yang sangat singkat untuk pikat-memikat dan mengawan, iaitu selama 30 hingga 40 saat. Kelakuan arnab ketika pikat-memikat melibatkan jilat-menjilat, hidu-menghidu, dan si jantan mengejar si betina. Arnab juga sering menyembur kencing sebagai kelakuan seksual. Arnab betina mungkin keguguran bulu bergumpal-gumpal sewaktu tempoh hamil.
Proses penghasilan ovum bermula 10 jam selepas mengawan. Selepas mengawan, arnab betina membuat dan mengalas sarangnya dengan bulu dari gelambir, rusuk dan perutnya. Kelakuan ini juga mendedahkan puting arnab betina untuk membolehkannya menetek anak-anaknya. Dalam kebanyakan spesies, anak arnab lahir buta, dogel, dan tidak berupaya (kecuali spesies-spesies dalam genus Lepus dan Sylvilagus yang anaknya sudah berbulu, boleh membuka mata dan mampu menjaga diri sebaik sahaja dilahirkan). Keimunan pasif (keimunan yang diperoleh melalui pemindahan antibodi atau limfosit peka daripada haiwan lain) diperoleh oleh anak arnab sebelum lahir melalui pemindahan plasenta. 10 atau 11 hari selepas lahir, anak arnab boleh membuka mata, kemudian ia boleh makan sendiri sekitar usia 14 hari.Walaupun bogel ketika lahir, namun bulu anak arnab mula tumbuh dalam masa beberapa hari sahaja. Pada umur 5 hingga 6 minggu, bulu anak arnab yang lembut ini diganti dengan bulu pra-dewasa. Sekitar umur 6 hingga 8 bulan, bulu pertengahan ini diganti pula dengan bulu dewasa sepenuhnya, selepas itu arnab bersalin bulu dua kali setahun. Oleh sebab susu arnab sangat berkhasiat, anak arnab hanya perlu ditetek selama beberapa minit, sekali atau dua kali sehari.
Jangka hayat arnab adalah kira-kira 9–12 tahun arnab yang paling panjang usia di dunia mencapai 18 tahun.

Pemakanan
Hampir semua arnab merupakan haiwan maun (kecuali beberapa spesies Lepus), yang gemar meragut rumput, herba, dan rumpai berdaun, tetapi juga memakan buah-buahan dan biji-bijian. Oleh itu, diet arnab mengandungi jumlah selulosa yang banyak dan sukar dicernakan. Masalah ini diselesaikan dengan mengumuhkan dua jenis tinja yang berbeza, iaitu tahi keras dan biji-biji hitam lembut likat yang dimakan segera. Arnab memakan semula bahan buangannya sendiri (tidak mengunyah mamahan seperti yang dilakukan oleh lembu dan haiwan maun yang lain) untuk mencernakan lagi makanannya serta memperoleh khasiat yang mencukupi.
Sama seperti rodensia (tikus dan sebagainya), arnab mempunyai sepasang gigi acip depan yang kuat, tetapi juga dilengkapi sepasang lagi gigi acip di kedua-dua belah gigi besar pada rahang atas, apatah lagi struktur giginya berbeza daripada gigi acip rodensia. Sama dengan rodensia juga, arnab tiada gigi taring, tetapi pipinya lebih berisi daripada rodensia. Rumus kegigian kebanyakan spesies arnab ialah
Arnab meragut dengan sekuat-kuat dan secepat-cepatnya pada separuh jam pertama waktu meragut (biasanya pada lewat petang), diikuti pemakanan yang lebih berpilih pada separuh jam seterusnya. Pada waktu ini, arnab juga mengumuhkan biji-biji tahi yang keras dan tidak dimakan semula. Jika persekitarannya tidak begitu mengancam, arnab boleh berada di luar sarang berjam-jam lamanya, dan sekali-sekala meragut makanan. Ketika di luar sarang, adakalanya arnab memakan semula biji-biji kumuhan lembut yang separa tercerna. Kelakuan ini jarang dapat diperhatikan kerana biji-biji tersebut dimakan semula sebaik sahaja dikumuhkan. Pemakanan semula ini paling biasa berlaku sekejap-sekejap dalam sarang dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Bijian keras terbentuk daripada cebisan kulit ari dan tangkai tumbuhan yang seakan rumput kering, iaitu hasil buangan akhir selepas bijian lembut dimakan semula. Tahi keras ini hanya dikumuhkan di luar sarang dan tidak dimakan balik. Tahi lembut biasanya dihasilkan beberapa jam selepas meragut rumput, iaitu selepas semua tahi keras dikumuhkan. Tahi lembut ini terdiri daripada mikro-organisma dan dinding sel tumbuhan yang tak tercerna.
Bahan tumbuhan yang terkunyah berkumpul dalam sekum besar, sebuah kebuk sekunder di antara usus besar dan kecil yang berisi sejumlah besar bakteria simbiosis yang membantu pencernaan selulosa serta menghasilkan vitamin B tertentu. Biji tahi ini terdiri daripada 56% bakteria pada berat kering, dan oleh itu mengandungi purata 24.4% protein. Biji-biji ini kekal utuh selama enam jam dalam dalam perut, sementara bakteria dalamnya terus mencernakan karbohidrat tumbuhan. Tahi lembut terbentuk di sini dan mengandungi vitamin yang sebanyak lima kali ganda dalam tahi keras. Selepas dibuang, tahi lembut itu dimakan bulat-bulat oleh arnab dan dicernakan semula di dalam perut. Proses pencernaan berganda ini membolehkan arnab menggunakan khasiat yang mungkin terlepas olehnya ketika mula-mula melalui usus, dan juga khasiat-khasiat yang terbentuk daripada kegiatan mikrob untuk memastikan supaya arnab memperoleh khasiat yang secukupnya daripada pemakanannya. Proses bagi arnab ini sama tujuannya dengan peruminatan bagi lembu dan kambing.
Arnab tidak boleh muntah kerana dilarang oleh fisiologi sistem pencernaannya.

Pengurusan Bersistem
 Pengurusan yang bersistematik dalam dunia penternakan merupakan faktor utama dalam merealisasikan dunia penternakan yang berkualiti. Samada ianya berkonsepkan penternakan hobi, komersial enterprise atau industri semuanya perlukan kawalselia yang baik.
Bermula dari memasang cita-cita ingin memiliki arnab, menyediakan kemudahan pemeliharaan, pemilihan baka, penjagaan kesihatan dan pemakanan, pengeluaran produk serta pemasaran. Langkah tersusun dapat menjamin kejayaan.

Edisi Pemakanan
Anak arnab
Susu ibu merupakan diet utama bagi anak arnab sejak mula lahir hingga berumur 3 minggu.Untuk tempoh beberapa hari pertama, kandungan antibodi amat tinggi dalam susu ibu. Kandungan anti bodi yang tinggi amat bermanfaat untuk melindungi anak arnab dari sebarang penyakit. Selepas umor 3 minggu, anak-anak arnab akan mulai belajar mengigit sumber pepejal seperti pelet, jerami kering. Pada usia 7 minggu, anak-anak arnab akan mulai memakan sumber pepejal tanpa had serta sedikit susu ibu. Kebiasaannya, anak arnab berumur 8 minggu akan dipisahkan dari ibunya. Pemisahan ini dipanggil cerai susu. Namun demikian ianya bergantung kepada jenis baka.

Edisi Minuman
Air minuman
Pemberian air minuman yang paling berkesan ialah sistem automatik (sistem puting), bagaimanapun, sistem tradisional masih lagi relevan. Sistem ini amat berkesan kerana bekalan air akan sentiasa dalam keadaan bersih dan sedia untuk tempoh 24 jam. Kebersihan air minuman amat penting untuk tumbesaran dan kawalan penyakit arnab. Pemberian ubatan dan multivitamin mudah dilakukan melalui sistem ini.

 Terdapat dua sistem yang diamalkan oleh ramai penternak. Sistem pertama ialah menggunakan kaedah sumber air berpusat dan kedua sumber air berasingan.

Sistem air berpusat.
Bagi sistem sumber air berpusat, satu tangki air disediakan untuk menyalurkan air ke semua reban atau sel samada dalam satu bangsal atau bangsal berasingan. Setiap sel akan disediakan dengan satu puting logam automatik. Kos sistem ini agak tinggi, bagaimanapun, amat praktikal untuk kegunaan dalam tempoh yang panjang. Kelebihan menggunakan sistem ini ialah, kurang penggunaan tanaga buruh, menjimatkan masa, produktiviti dapat ditingkatkan. Kelemahan, kos permulaan yang tinggi, kaedah alternatif perlu dilakukan jika terpaksa memberi ubat-ubatan, multivitamin serta elektrolit tambahan untuk sel-sel yang dipilih.
 
Sistem sumber air berasingan merupakan satu sistem alternatif di mana, setiap reban atau sel disediakan dengan satu botol air minuman berputing automatik. Kuantiti air yang dibekalkan adalah bergantung kepada saiz botol yang disediakan. Saiz setiap botol hendaklah boleh menampung air untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam. Bagaimanapun, pemantauan perlu dibuat bagi memastikan sumber air sentiasa ada dan mencukupi untuk sepanjang tempoh ini. Amaran!, Arnab akan meminum lebih banyak air pada hari panas dan kering. Kos sistem ini agak tinggi, bagaimanapun, amat praktikal untuk kegunaan dalam tempoh yang panjang. Kelebihan, memudahkan urusan pemberian air, mudah untuk memberikan ubat-ubatan, multivitamin serta elektrolit tambahan untuk sel-sel yang dipilih. Kelemahan, kos permulaan yang agak tinggi, berpotensi terputus bekalan air (puting tidak berfungsi atau arnab meminum lebih banyak air terutama waktu panas dan kering), botol-botol perlu dicuci untuk tempoh beberapa hari digunakan. Sistem ini amat praktikal untuk kegunaan ternakan hobi dan komersial.

 
Sistem air yang tradisional.
Sistem ini menggunakan bekas-bekas logam, bekas-bekas plastik guna semula serta bekas tembikar. Kesemua bekas ini amat murah serta mudah diperolehi. Ianya diamalkan oleh penternak tradisional. Banyak kelemahan menggunakan sistem ini, terutama bekalan air cepat menjadi kotor kerana sisa kotoran seperti najis, sisa makanan serta air kencing dengan mudah dapat memasuki bekas makanan. Kawalan dan rawatan penyakit sukar dilaksanakan. Pemantauan perlu dilakukan. Bekalan air bersih tidak mampu bertahan untuk tempoh 24 jam. Pengisian semula air perlu dilakukan sebaik sahaja kotoran dikesan dalam bekas minuman. Potensi arnab menterbalikkan bekas air amatlah tinggi.


Edisi Potong kuku



Potong kuku juga merupakan elemen yang perlu diambil perhatian. Kuku arnab perlu dipotong mengikut sela masa yang sesuai. Pemotongan perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelak berlakunya potongan sehingga ke kawasan saraf.

Penggunaan peralatan yang sesuai dapat mengurangkan risiko kecederaan pada bahagian kuku yang dipotong.


Edisi Peralatan Reban
Penggunaan bekas berteknologi industri boleh menjimatkan kos. Bagaimanapun, bekas berteknologi tradisional masih relevan.



P/S :: GAMBAR HAMPA KENA CARI SENDIRI LAR NOH !! NAK CARI MAKLUMAT NI PON JENOH GARU PALA. .HEHE

CARA PENGURUSAN ARNAB

kliksini untuk maklumat lebih lanjut.sebaiknya image search dengan google <3
banyak gambar yang berguna